Pages

Monday, November 9, 2015

Latar belakang Ibu Kandung Suluh Budiman

              Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan sebuah institusi pengajian tinggi awam yang penting dalam sejarah pendidikan negara. Institusi ini berkembang secara bertahap dari sebuah Maktab Perguruan hinggalah menjadi sebuah Universiti Pendidikan. Perkembangan UPSI melalui tiga era, iaitu era Sultan Idris Training College (SITC), 29 November 1922 - 1957, era Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), 1957 - 1987 dan era Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI), 21 Februari 1987 - April 1997. Tiga era ini juga memperlihatkan wadah generasi pendidik yang dilahirkan oleh institusi ini dalam tempoh 75 tahun. 
             
              Tanggal 1 Mei 1997 bermulalah lembaran barunya sebagai sebuah universiti, apabila universiti ini diperbadankan di bawah Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus) 1997 menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 132 & 133 yang bertarikh 24 Februari 1997. Pada awal penubuhannya, terdapat hanya empat buah fakulti yang menawarkan sepuluh program pengajian. Fakulti-fakulti tersebut adalah Fakulti Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kesenian, Fakulti Sains dan Teknologi, dan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia. Jumlah program pengajian bertambah dari tahun ke tahun. 
             
             Pada tahun 2002, dua buah fakulti baharu ditubuhkan, iaitu Fakulti Perniagaan dan Ekonomi dan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, menjadikan jumlah fakulti sehingga itu enam buah dengan jumlah 19 kursus pengajian di peringkat ijazah sarjana muda. Peningkatan ini menggambarkan perubahan besar yang dilakukan bagi menampung keperluan akademik dan jumlah pelajar yang kian bertambah. Fakulti Sains Sosial dan Kesenian ditukar namanya kepada Fakulti Seni dan Muzik manakala Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan Fakulti Sains Sukan ditubuhkan sebagai Fakulti baharu. 

             Penstrukturan semula Fakulti-Fakulti UPSI telah dilaksanakan pada 1 Jun 2010 untuk meningkatkan daya saing universiti pada masa kini bagi merealisasikan visi dan misi untuk menjadi peneraju inovasi dan kreativiti, penyelidikan, pengkomersilan, reka cipta kreatif dan berimpak tinggi serta melahirkan tenaga manusia kreatif yang akan memajukan ekonomi negara. 

Fakulti-Fakulti baharu yang telah ditubuhkan adalah seperti berikut:- 
                            
                            1. Fakulti Sains dan Matematik (FSMT); 
                            2. Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM); 
                            3. Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK); 
                            4. Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK); 
                            5. Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK); 
                            6. Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP); 
                            7. Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK); 
                            8. Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE);  
                            9. Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV).

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright (c) 2010 THE WORLD OF TREE. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.